Sunday, August 5, 2012

FAKTOR PEMANGKIN NASIONALISME DI TANAH MELAYU

a)Terangkan faktor pemangkin nasionalisme di Tanah Melayu (8 markah) Faktor pertama ialah pengenalan system politik Barat yang telah memusnahkan sistem politik tradisional. Ini kerana residen telah menggantikan pembesar tradisional. Perubahan sebegini telah mencabar amalan dan tradisi orang tempatan. Selain itu, pendudukan Jepun turut membangkitkan nasionalisme. Slogan Asia Untuk Asia telah menarik perhatian masyarakat yang terpedaya dengan janji Jepun untuk memberikan kemerdekaan. Akan tetapi kesengsaraan semasa pendudukan Jepun telah menyedarkan rakyat. Gerakan Pan-Islamisme sedunia juga turut menyumbang kebangkitan nasionalisme. Syeikh Muhammad Abduh telah memulakan gerakan itu sekaligus berjaya membangkitkan pemahaman yang lebih progresif terhadap Islam. Konflik perkauman yang timbul akibat penguasaan Parti Komunis Malaya selama 14 hari turut membangkitkan semangat. b) Jelaskan perjuangan gerakan Islah (6 markah) Golongan ini berusaha mendorong masyarakat Melayu membetulkan pandangan terhadap Islam iaitu kembali kepada ajaran Quran dan hadis. Antara tokoh Gerakan Islah ialah Sheikh Tahir Jalaludin dan Syeid Sheikh al-Hadi. Mereka juga dikenali sebagai Kaum Muda. Mereka turut menerbitkan majalah seperti al-Imam dan Pengasuh. Kaum Muda ini mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan dalam memajukan orang Melayu. Mereka juga menubuhkan beberapa madrasah yang menekankan pendidikan untuk dunia dan akhirat. Mereka juga member peluang kepada kaum wanita mendapatkan pendidikan. Malangnya mereka ditentang hebat oleh Kaum Tua dan hanya dapat bergerak di Negeri-Negeri Selat sahaja. c)Andaikan anda menjadi Pengerusi Persatuan Sejarah di sekolah anda, apakah usaha yang boleh dilakukan bagi menjadikan persatuan tersebut sebuah persatuan yang paling berjaya di sekolah anda? Saya akan mewujudkan suatu perlembagaan yang jelas demi kebaikan persatuan. Selain itu, saya akan mewujudkan misi dan visi yang spesifik serta membuat perancangan yang baik. Saya juga akan membina kerjasama yang baik dengan seluruh persatuan di sekolah saya, di samping mengenakan yuran berpatutan demi kebaikan ahli. Akan tetapi, jika terdapat ahli yang tidak memberikan kerjasama saya akan mengenakan hukuman yang sewajarnya. Saya juga akan menerbitkan buletin persatuan sebagai salah satu aktiviti.

No comments:

Post a Comment