Thursday, April 21, 2011

Ciri-Ciri Umum Sistem Birokrasi Barat

Terangkan ciri-ciri umum sistem birokrasi Barat di Asia Tenggara. (5 markah)

Ciri umum yang pertama ialah penubuhan kerajaan pusat hasil penyatuan wilayah-wilayah di tanah jajahan. Ciri kedua, pelantikan Gabenor Jeneral sebagai ketua pentadbir di tanah jajahan. Ciri yang ketiga ialah pelaksanaan pentadbiran melalui biro atau jabatan.
Ciri seterusnya ialah pelantikan pegawai Barat sebagai ketua biro dan pengenalan undang-undang Barat.

Perubahan yang diperkenalkan oleh Barat di Indonesia

Apakah perubahan yang diperkenalkan oleh Barat dalam sistem pemerintahan di Indonesia (7 markah)
Setelah menguasai Indonesia, Belanda membahagikan pentadbiran kepada dua, iaitu pentadbiran pusat dan pentadbiran tempatan.
Pentadbiran pusat diketuai oleh Gabenor Jeneral, manakala pentadbiran tempatan dikendalikan oleh pembesar tempatan dengan pengawasan pegawai Belanda.
Selain itu, Belanda juga menubuhkan jabatan kerajaan, contohnya Jabatan Pelajaran dan Jabatan Pertanian.
Belanda juga menubuhkan Dewan Tempatan, iaitu berfungsi sebagai penasihat pentadbiran Belanda tetapi tiada kuasa perundangan.
Akhir sekali, Belanda menubuhkan Volksraad iaitu merupakan Majlis Rakyat yang dianggap sebagai satu langkah ke arah kemerdekaan. Penubuhan Volksraad adalah hasil desakan semua Sarekat Islam.

Wednesday, April 20, 2011

Tasik Tonle Sap, Faktor Kedatangan Agama Hindu dan Buddha serta Peranan Candi

1. Huraikan kepentingan Tasik Tonle Sap. (8 markah)
Tasik Tonle Sap membekalkan sumber air minuman kepada penduduk Angkor. Selain itu, pada musim banjir, limpahan air dari Sungai Mekong akan mengalir ke Tasik Tonle Sap. Pada musim hujan, keluasan tasik ini menjadi 300.78 km persegi.
Pada musim kemarau, kawasan tasik ini menjadi subur disebabkan mendapan lumpur yang subur. Selain itu, tasik ini juga membekalkan sumber protein seperti ikan kepada penduduk sekitar. Air dari Tasik Tonle Sap dapat dialirkan ke kawasan penanaman padi dengan menggunakan terusan dan sistem pengairan.
Sumber air dari tasik ini dapat menampung keperluan penanaman padi bagi menyediakan bekalan beras yang mencukupi untuk penduduk Angkor dan seterusnya mengembangkan peranan kerajaan Angkor.

2.Terangkan cara-cara kedatangan pengaruh Hindu dan Buddha ke Asia Tenggara. (5 markah)
Pertama, kedatangan agama Hindu dan Buddha dibawa oleh golongan tentera atau ksyatria. Ia disebarkan oleh penakluk dari India yang membentuk tanah jajahan di Asia Tenggara.
Kedua, menerusi peranan pedagang atau vaisya, manakala pendapat ketiga mendakwa pengaruh Hindu dan Buddha dibawa oleh golongan Brahmin atau pendeta.
Selain itu, pendapat keempat pula mengatakan bahawa proses itu berlaku melalui pengambilan aspek-aspek kebudayaan India yang menarik sahaja, yang kemudiannya disesuaikan dengan budaya tempatan untuk diamalkan.

3. Jelaskan peranan candi (6 markah)
Candi merupakan monumen keagamaan bagi agama Hindu dan Buddha. Candi juga berperanan sebagai rumah ibadat, di samping berfungsi sebagai tempat menyimpan abu jenazah raja dan keluarganya.
Candi juga menjadi tempat menyimpan patung dewa utama bagi sesebuah kerajaan. Di samping itu, candi menjadi lambang keagungan seseorang pemerintah berdasarkan kehebatan seni bina.
Candi juga melambangkan orde kosmos, seperti di Angkor Wat dan Candi Borobudur.

Sebab Tamadun bermula di Lembah Sungai

Mengapakah tamadun awal manusia bermula di lembah sungai?
Berikan contoh ( 6 markah)
Lembah sungai dipilih disebabkan kesuburan tanah di sekitarnya untuk tujuan pertanian. Selain itu, terdapatnya kemudahan mendapatkan belakan air dan makanan. Lembah sungai juga menyediakan kemudahan pengangkutan dan perhubungan.
Contohnya ialah tamadun Mesopotamia di Lembah Sungai Euphrates, tamadun Mesir Purba di Lembah Sungai Nil, tamadun Indus di Lembah Sungai Indus dan tamadun Hwang Ho di Lembah Sungai Hwang Ho.

Tamadun Awal Manusia (Bab 1 Ting. 4)

Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi tersendiri tentang tamadun.
i)Huraikan definisi tamadun mengikut pandangan :
a)Barat (4 markah)
b)Islam (4 markah)

1. a) Barat – Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah , terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun. Darcy Riberio dan R. A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah, sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.
b) Menurut Islam, tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur sesebuah masyarakat. Pandangan Islam ini disokong oleh Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

ii)Huraikan ciri-ciri tamadun. (8 markah)
2. Ciri tamadun yang pertama ialah petempatan kekal. Ini kerana kehidupan secara menetap telah membawa kepada corak hidup yang sistematik. Hasil inovasi manusia manusia telah melahirkan kemajuan dalam pertanian, iaitu dari segi penanaman dan penyimpanan makanan serta penternakan. Contohnya penciptaan cangkul dan sistem pengairan yang baik.
Ciri kedua ialah kehidupan organisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Pada peringkat awal, organisasi sosial wujud pada tahap yang paling ringkas, iaitu sistem keluarga. Pertambahan penduduk dan kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat yang lebih kompleks. Sistem sosial selalunya berbentuk piramid dan bersusun lapis. Lapisan atas ialah raja atau golongan bangsawan, kedua golongan pembesar, diikuti lapisan ketiga rakyat biasa dan lapisan keempat ialah hamba.
Ciri tamadun yang ketiga ialah sistem pemerintahan. Seseorang pemimpin atau raja selalunya menggunakan unsur magis dan mendakwa diri mereka sebagai wakil tuhan demi mendapatkan pengiktirafan. Ini membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat.
Ciri keempat ialah pengkhususan pekerjaan. Ini disebabkan oelah berlakunya peningkatan dalam produktiviti manusia yang membawa kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi dan akhirnya menghasilkan pertukaran barangan yang dikenali sistem barter. Akhirnya membolehkan berlakunya ilmu pengetahuan, teknologi dan budaya antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat lain.
Ciri kelima ialah agama dan kepercayaan. Proses ini bermula apabila manusia mencuba untuk memahami dan menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling. Alam seperti pokok, batu, matahari, dan laut dipercayai mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan kemakmuran. Mereka percaya kepada kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling yang dipanggil animisme. Secara evolusinya bertukar menjadi agama. Agama dalam tamadun awal dikenali sebagai politeisme iaitu penyembahan lebih daripada satu tuhan.
Ciri terkahir ialah bahasa dan tulisan. Antara bahasa tertua ialah bahasa Yunani dan Sanskrit manakala contoh tulisan terawal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Sistem tulisan amat penting untuk penyimpanan rekod, penulisan undang-undang dan hal keagamaan.

iii)Pada pandangan anda, apakah punca kemerosotan sesebuah tamadun? (4 markah)
3.Pada pendapat saya, punca kemerosotan sesebuah tamadun mungkin disebabkan kezaliman pemerintah. Selain itu, tamadun juga merosot disebabkan berlakunya bencana alam seperti banjir besar dan kemarau. Di samping itu, tamadun merosot mungkin disebabkan oleh pemberontakan rakyat terhadap raja atau pemerintah yang zalim. Selain itu, tamadun juga merosot apabila berlakunya serangan dari musuh-musuh dari luar.
(Mana-mana idea yang munasabah diterima)

FOKUS PEPERIKSAAN PENGGAL PERTAMA

1.Tamadun Awal Manusia (Bab 1 Ting. 4)
-Definisi tamadun
-ciri tamadun
-faktor bermula di lembah sungai
2. Pengaruh Hindu dan Buddha di Asia Tenggara (Bab 3 Ting. 4)
-Cara kedatangan
-peranan candi
-pengaruh bahasa Sanskrit
3. Penyebaran Islam di Makkah (Bab 4 Ting. 4)
-cara penyebaran
-sebab Islam mudah diterima
-Cara orang Arab Quraisy menentang Islam
-Sebab orang Arab Quraisy menentang
4.Buru China dan India (Bab 10 Ting. 4)
-faktor kedatangan
-Cara kedatangan
-Sistem kontrak, kangani
5. Imperialisme (Bab .1 ting 5)
-faktor imperialisme
-ciri-ciri sistem birokrasi
6. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu (Bab 2 Ting. 5)
-ciri-ciri
-gerakan menentang Jepun
7. Persekutuan Tanah Melayu 1948 (bab 4 Ting. 5)
-Faktor-faktor
-ciri-ciri
8. Sistem Ahli (Bab 5 Ting. 5)
-tokoh terbabit
-ciri-ciri
9. Pakatan Murni (Bab 5 Ting. 5)
-definisi
-usaha ke arah