Tuesday, February 22, 2011

TAMADUN AWAL MANUSIA

Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi tersendiri tentang tamadun.
i) Huraikan definisi tamadun mengikut pandangan :
a) Barat (4 markah)
b) Islam (4 markah)
ii) Huraikan ciri-ciri tamadun. (8 markah)
iii) Pada pandangan anda, apakah punca kemerosotan sesebuah tamadun? (4 markah)
a) Barat – Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah , terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun. Darcy Riberio dan R. A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah, sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.
b) Menurut Islam, tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur sesebuah masyarakat. Pandangan Islam ini disokong oleh Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.
ii. Ciri-ciri tamadun
Ciri tamadun yang pertama ialah petempatan kekal. Ini kerana kehidupan secara menetap telah membawa kepada corak hidup yang sistematik. Hasil inovasi manusia telah melahirkan kemajuan dalam pertanian, iaitu dari segi penanaman dan penyimpanan makanan serta penternakan. Contohnya penciptaan cangkul dan sistem pengairan yang baik. Ciri kedua ialah kehidupan organisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Pada peringkat awal, organisasi sosial wujud pada tahap yang paling ringkas, iaitu sistem keluarga. Pertambahan penduduk dan kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat yang lebih kompleks. Sistem sosial selalunya berbentuk piramid dan bersusun lapis. Lapisan atas ialah raja atau golongan bangsawan, kedua golongan pembesar, diikuti lapisan ketiga rakyat biasa dan lapisan keempat ialah hamba.
Ciri tamadun yang ketiga ialah sistem pemerintahan. Seseorang pemimpin atau raja selalunya menggunakan unsur magis dan mendakwa diri mereka sebagai wakil tuhan demi mendapatkan pengiktirafan. Ini membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat.
Ciri keempat ialah pengkhususan pekerjaan. Ini disebabkan oelah berlakunya peningkatan dalam produktiviti manusia yang membawa kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi dan akhirnya menghasilkan pertukaran barangan yang dikenali sistem barter. Akhirnya membolehkan berlakunya ilmu pengetahuan, teknologi dan budaya antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat lain.
Ciri kelima ialah agama dan kepercayaan. Proses ini bermula apabila manusia mencuba untuk memahami dan menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling. Alam seperti pokok, batu, matahari, dan laut dipercayai mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan kemakmuran. Mereka percaya kepada kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling yang dipanggil animisme. Secara evolusinya bertukar menjadi agama. Agama dalam tamadun awal dikenali sebagai politeisme iaitu penyembahan lebih daripada satu tuhan.
Ciri terakhir ialah bahasa dan tulisan. Antara bahasa tertua ialah bahasa Yunani dan Sanskrit manakala contoh tulisan terawal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Sistem tulisan amat penting untuk penyimpanan rekod, penulisan undang-undang dan hal keagamaan.
iii) Pada pendapat saya, punca kemerosotan sesebuah tamadun mungkin disebabkan kezaliman pemerintah. Selain itu, tamadun juga merosot disebabkan berlakunya bencana alam seperti banjir besar dan kemarau. Di samping itu, tamadun merosot mungkin disebabkan oleh pemberontakan rakyat terhadap raja atau pemerintah yang zalim. Selain itu, tamadun juga merosot apabila berlakunya serangan dari musuh-musuh dari luar.
(Mana-mana idea yang munasabah diterima)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment