Sunday, April 18, 2010

IBU MITHALI


KUALA LUMPUR 21 November 2008 – Seorang penoreh getah miskin, Eshah Din, 70, yang membesarkan 17 orang anaknya dengan memberi mereka makan pisang lenyek bercampur nasi dinobatkan sebagai Ibu Mithali 2007. Seramai 15 orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.
Eshah yang memenangi Anugerah Ibu Mithali dengan menewaskan empat calon lain menerima hadiah wang tunai RM25,000, plak, naskhah al-Quran, pakej umrah, sijil simpanan premium RM1,000, barang-barang kemas bernilai RM8,000, loket, selendang dan jubah.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah menyampaikan anugerah dan hadiah-hadiah tersebut kepada Eshah yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah.
Seramai 4,000 tetamu turut menyaksikan acara bersejarah itu yang menobatkan Eshah sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali Kesembilan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Eshah yang berbaju kurung dan bertudung serba hijau diiringi suaminya, Sulaiman Saipin, 74. Sulaiman ialah penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2006.
Seramai 10 orang anaknya bersama keluarga masing-masing turut meraikan kejayaan ibu mereka yang kelihatan tabah dan masih cergas walaupun telah berusia 70 tahun.
Eshah yang ditemui selepas acara penganugerahan itu berkata, kesemua 16 anaknya diberikan makan pisang lenyek bercampur nasi ketika mereka berusia empat bulan kecuali anak bongsunya, Nurhana, kini 27, yang berpeluang makan ‘Nestum’.
“Masa dulu mana ada Nestum. Anak-anak saya diberi makan pisang lenyek dan nasi serta minum susu cap junjung,’’ katanya dalam loghat Jawa disambut gelak ketawa para wartawan.
Dengan hanya berpendapatan RM400 sebulan, ibu yang tidak pernah mengerti penat dan kecewa itu turut menjual mihun dan nasi lemak di estet tempat beliau dan suami bekerja sebagai penoreh getah bagi menambah pendapatan.
“Saya menjual mihun lima sen sebungkus kepada penoreh getah di estet selain menjual jamu yang dibuat sendiri,’’ katanya.
Menurut anak perempuan sulung Eshah, Rosilah, 45, walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, ibunya tidak pernah merungut tentang kesusahan membesarkan anak-anaknya yang ramai itu.
Beliau berkata, ibunya tidak pernah jemu menemani bapanya menoreh getah di Ladang Malakoff dekat Tawar yang terletak lima kilometer dari Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah.
‘‘Ibu sanggup mendaki bukit untuk menoreh getah ketika mengandung sembilan bulan dan segala kepayahan ditanggungnya sendiri,’’ katanya sambil menitiskan air mata ketika menceritakan kepayahan ibunya menyara 17 adik-beradiknya.
Rosilah, seorang guru, kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.
Di kalangan 17 adik-beradiknya, tujuh adalah guru, dua bekas anggota tentera, seorang pegawai kastam, seorang jurutera, tiga akauntan, seorang tukang masak, pegawai alam sekitar dan pengurus ladang.
Katanya, ibunya sentiasa tabah menghadapi segala dugaan dan tidak pernah merungut.
Semua masalah dan keperitan membesarkan anak-anak ditanggung sendiri.
‘‘Memang bukan mudah untuk membesarkan 17 orang anak,’’ katanya.
Sebagai anak perempuan sulung dan anak keenam, Rosilah berkata, beliau hanya membantu ibunya di rumah. Abang-abangnya pula menolong bapa menoreh getah di estet.
Makanan
Sementara itu, Eshah ditanya sama ada beliau pernah mengalami keadaan tidak cukup makanan untuk diagih-agihkan kepada 17 orang anaknya.
‘‘Apabila mereka bergaduh kerana berebut makanan yang dihidang, suami saya akan merotan dan melibas mereka kerana cara itu dapat mendisiplinkan mereka.
‘‘Kami berdua tidak makan tak apa asalkan mereka (anak-anak) cukup makan,’’ katanya yang kini mempunyai 80 cucu dan seorang cicit.
Ditanya bagaimana beliau mengajar anak-anak ketika mereka bersekolah, Eshah berkata: ‘‘Saya tidak bersekolah macam mana nak ajar... saya hanya memperingatkan mereka dan bapanya pula jika nampak (dakwat) ‘merah’ itu maknanya anak buat salah.’’
Menurut Eshah, kesemua 17 anaknya lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dengan baik dan 15 daripada mereka berjaya meneruskan pelajaran ke menara gading.
Mengenai rahsia kejayaan anak- anaknya dalam pendidikan, Eshah berkata, beliau sentiasa menyuruh anak-anak membaca buku apabila mereka balik dari sekolah.
‘‘Pada sebelah malam, mereka mesti ada di rumah. Saya tidak benarkan mereka tidur di rumah saudara-mara. Kalau susah biar kita sama-sama susah di rumah sendiri,’’ katanya.
Menurutnya, setelah mempunyai 12 orang anak, ada juga orang datang meminta untuk menjaga anak-anaknya tetapi beliau enggan menyerahkan mereka kepada orang lain.
Kini dua orang anaknya tinggal di luar negara iaitu seorang di New Zealand dan seorang lagi di Mesir.

Mudah-mudahan kita semua dapat manfaat,
Abu Izzuddin al-Kelantani

No comments:

Post a Comment