Friday, April 30, 2010
FENOMENA MENGANTUK
FENOMENA MENGANTUK
Mengantuk adalah fenomena lumrah setiap manusia, sehinggakan orang Melayu menggunakan istilah mengantuk untuk mencipta peribahasa, contohnya “Sudah mengantuk disorongkan bantal.” Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang mengantuk ketika belajar, jangan pula diberi bantal. Itu boleh memusnahkan masa depan mereka.
Anda mengantuk ? Apa punca mengantuk bila berada di depan buku? Akan tetapi apabila berada di hadapan televisyen, mata kita tetap segar.
Sebab-sebab mengantuk :
1. Tidak cukup tidur.
Ada sesetengah pelajar yang berjaga sampai jam 1.00 pagi. Lebih malang lagi, kalau berjaga untuk menonton televisyen, mendengar radio atau bersembang maya di internet. Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat ! Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang belajar pintar bukan semata-mata kuat belajar.
2. Tidur yang berlebih-lebihan.
Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Sebagai pelajar, sudah memadai untuk kita tidur 6 hingga 8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih daripada tempoh itu.
3. Makan terlalu banyak.
Perut kita akan terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk dalam kelas dan ketika membaca. Selain itu, anda perlu makan malam lebih awal, contohnya sebelum Maghrib. Elakkan makan malam yang terlalu lewat sehingga jam 9 hingga 10 malam. Ingat! Imam Ghazali menasihatkan agar berjalan 100 langkah selepas makan malam. Ini amat baik untuk kita amalkan.
4. Badan terlalu letih.
Mungkin pelajar sibuk dengan aktiviti sukan, kawad, kelas tambahan dan sebagainya. Jika anda seorang ahli sukan, sesuaikan masa bermain dengan musim / tahun peperiksaan. Cukuplah bersukan sekadar 20- 30 minit sehari. Pilihlah aktiviti yang sesuai. Tidak ada gunanya kegiatan kokurikulum anda cemerlang, sedangkan peperiksaan anda kecundang.
5. Tidak berminat terhadap mata pelajaran tertentu.
Minat memainkan peranan penting. Ada pelajar sanggup berjaga malam ketika musim bola sepak Piala Dunia. Malah, nama-nama pemain bola sepak terkenal diingati dengan mudah tanpa perlu dihafal atau dicatat dalam mana-mana buku catatan. Mengapa ini boleh berlaku? Jawabnya mudah, kerana minat! Oleh itu, anda perlu sematkan cita-cita, tanamkan minat terhadap ilmu. Insyaallah masalah seperti mengantuk dan lemah daya saing tidak akan bertapak dalam diri anda.
SENAMAN MENGELAKKAN RASA MENGANTUK
1. Sambil duduk di kerusi, kaki diangkat.
2. Pusing pergelangan kaki arah keluar, kemudian arah ke dalam.
3. Pegang tempat duduk kerusi dan cuba tarik (untuk menguatkan otot).
4. Berdiri, jauhkan sedikit jarak di antara kedua-dua kaki, tangan kanan diangkat hingga membengkok ke sebelah kiri, kemudian tukar tangan sebelah kiri.
5. Renggangkan kaki, bongkok menyentuh simen atau jari kaki.
6. Duduk di atas lantai, buka kedua-dua belah kaki seluas yang dapat, tundukkan badan (darah mengalir ke otak).
7. Duduk di kerusi, cuba tunduk hingga kepala lebih rendah daripada lutut.
Pesan bestari :
“Our mind is like a parachute. It only functions when it is open.” (Minda kita umpama payung terjun, ia akan berfungsi apabila dibuka.) (Peribahasa Inggeris)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment