Sunday, June 27, 2010

SENAMAN MENGURANGKAN RASA MENGANTUK


SENAMAN MENGELAKKAN RASA MENGANTUK
1. Sambil duduk di kerusi, kaki diangkat.
2. Pusing pergelangan kaki arah keluar, kemudian arah ke dalam.
3. Pegang tempat duduk kerusi dan cuba tarik (untuk menguatkan otot).
4. Berdiri, jauhkan sedikit jarak di antara kedua-dua kaki, tangan kanan diangkat hingga membengkok ke sebelah kiri, kemudian tukar tangan sebelah kiri.
5. Renggangkan kaki, bongkok menyentuh simen atau jari kaki.
6. Duduk di atas lantai, buka kedua-dua belah kaki seluas yang dapat, tundukkan badan (darah mengalir ke otak).

Saturday, June 26, 2010

JAPAWAN KERTAS 1 SPM 2009


Pelajar sekalian, di sini saya sertakan jawapan soalan kertas 1 2009

Monday, June 14, 2010

WARKAH UNTUK PELAJAR


Pelajar-pelajar sekalian,
Dalam usaha mengejar kejayaan, motivasi dalaman (intrinsik) perlu senantiasa dibajai agar ia tidak mudah pudar ditelan arus zaman. Ramai di kalangan pelajar yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar tetapi hanya setakat sehari dua sahaja, umpama peribahasa “hangat-hangat tahi ayam”.
Dalam usaha mengejar kejayaan, sifat tekun dan bersungguh-sungguh amat perlu disemai kerana ia merupakan pokok segala kejayaan. Kesungguhan menjadi penyumbang 82% bagi kejayaan.
Pelajar-pelajar budiman, percayalah bahawa keberkatan merupakan unsur terpenting dalam memburu kejayaan. Keberkatan hanya diperolehi dengan mendekatkan diri kepada Allah, menghormati guru, sentiasa membaca al-Quran, berdoa dan bertawakal.
Insyaalah, sebutir mutiara hanya akan bernilai jutaan ringgit setelah dasar lautan dan dicanai oleh tukang yang mahir.

Sekian dulu untuk kali ini, insyaalah berjumpa lagi di lain warkah.
Yang benar,

Cikgu Hj. Yasmin Hashim.

Saturday, June 12, 2010

KEHEBATAN OTAK MANUSIA


Otak dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk kegunaan berfikir. Kemampuan berfikir seseorang tidak bergantung kepada saiz atau berat fizikalnya, tetapi pada sel-sel saraf neuron yang terkandung di dalam otak tersebut.
Orang yang jarang berfikir paling minimum mempunyai sejumlah 10 bilion sel. Setiap satu sel berhubungan dengan saraf yang lain. Orang yang rajin berkifir pula mempunyai sehingga 1 trilion sel. Semakin kerap kita berfikir pula, semakin banyak sel otak yang terbentuk.
Otak mengandungi bahan cecair yang terdiri daripada berpuluh-puluh jenis bahan kimia, yang bertindak balas untuk membolehkan manusia berfikir. Setiap sel otak mempunyai kapasiti seperti SEBUAH KOMPUTER BESAR, yang membolehkan otak manusia menampung sekurang-kurangnya 120 kemahiran. Malangnya, manusia hanya menggunakan 5 – 10 % sahaja dari keupayaan otak mereka.
Kajian awal saintis terkenal Albert Einstein, otak manusia terbahagi kepada dua : dikenali sebagai otak kiri dan otak kanan. Kemudiannya, Dr. Robert Ornstein dan Dr. Roger Sperry dari Institut Teknologi California pula mengkaji tentang perbezaan fungsi otak kiri dan otak kanan secara sistematik.
Kajian mereka mendapati otak kanan berfungsi lebih khusus dalam memproses maklumat secara keseluruhan dan bertindak balas dengan irama, imej, warna dan berkhayal. Otak kiri pula memproses maklumat satu persatu dan bertindak balas dengan perkataan, nombor, logik dan analisis. Untuk menjadi cemerlang, pelajar hendaklah menggunakan kedua-dua belah otak ketika belajar.
Peranan otak ketika membaca:
Otak Kiri
- meneliti perkataan demi perkataan
-berfikir logiknya kandungan buku
-mengingat fakta, formula,
perbendaharaan kata
Otak Kanan
-memahami isi buku keseluruhannya
-menggambarkan apa yang dibaca dalam minda
-bacaan dibawa kepada perasaan dalam hati
Dengan menggunakan kemampuan otak secara optimum barulah kita dapat menggarap ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan dan pantas. Jangan sekali-kali anda merosakkan fungsi otak dengan melakukan aktiviti yang mengakibatkan minda rosak seperti merokok, mengambil dadah, minum arak, melihat bahan lucah, bermain sukan berbahaya yang melibatkan kecederaan kepala dan sebagainya.

Friday, June 11, 2010

TIPS JAYA DIRI PELAJAR CEMERLANG:


(a) Berfikiran positif : Orang lain boleh, mengapa saya tidak? Kemiskinan bukan penghalang untuk kejayaan. Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari.

(b) Bermatlamat jelas : Apa yang hendak saya capai dalam jangka pendek dan jangka panjang?

(c) Berdisiplin : patuhi peraturan dan jadual belajar.

(d) Bijak mengurus masa : Apa perlu saya lakukan dahulu?

(e) Semangat yang berterusan : Saya mesti sentiasa berusaha dan bukan semangat hangat-hangat tahi ayam.

(f) Berani mencuba sesuatu : Mengapa saya perlu takut / malu?

(g) Berlapang dada : Saya sepatutnya mempunyai sifat yang terbuka terhadap teguran guru dan rakan-rakan.

(h) Berakhlak mulia : Saya mesti rajin solat, membaca al-Quran, berpuasa sunat.

(i) Beriadah : Otak yang cerdas terhasil daripada badan yang sihat.


(j) Berehat : Saya tidak abaikan waktu rehat, makan dan tidur kerana otak yang berkualiti memerlukan rehat.

(k) Bertawakal : Setelah berusaha sebaik mungkin, kita serahkan kepada Allah s.w.t.

Thursday, June 10, 2010

TUMPUAN DALAM KELAS (SIRI 2)


Seringkali kita dengar daripada pelajar-pelajar cemerlang bahawa antara rahsia kejayaan mereka ialah dengan memberi tumpuan sepenuhnya semasa di dalam kelas.
Tumpuan dan fokus adalah faktor utama yang perlu ditekankan dalam apa-apa jua perkara yang kita lakukan khususnya semasa belajar.
Antara tip meningkatkan tumpuan di dalam kelas ialah :
1. Jangan mengalihkan pandangan daripada perkara yang diajar, kerana 80 peratus daripada tumpuan datangnya dari mata.
2. Dengar dan fahami betul-betul apa yang disampaikan oleh guru.
3. Awasi minda kita daripada mengelamun. Jika fikiran melayang, cepat-cepat kembalikan tumpuan itu ke arah pengajaran guru.
4. Kawal diri anda daripada gangguan rakan-rakan dan sebaliknya jangan ganggu mereka juga.
5. Catat apa yang diajar oleh guru.. kerana otak kita bukan mampu merekodkan segala apa yang didengari.
6. Tanya soalan dengan bersopan jika anda memerlukan penjelasan yang lebih lanjut.

AYAT YANG DIBACA SEBELUM MASUK PEPERIKSAAN

AYAT DIBACA SEBELUM MENGHADAPI PEPERIKSAAN

"Tidak ada yang lain melainkan Allah sebagai tempat menunjuk ajar"

(An-Najm : 58)

Cara : sebelum masuk ke dewan / bilik peperiksaan, alangkah baiknya dibaca ayat ini sebanyak baca 41 kali. Amalan ini merupakan amalan orang-orang soleh dan terbukti keberkesanannya.

Wednesday, June 9, 2010

BUKU MOTIVASI KECEMERLANGAN PELAJAR


Buku ini hasil catatan dan pengalaman berkecimpung dalam bidang motivasi sejak belajar di USM sehingga kini. Tidak salah kalau saya kongsikan ilmu-ilmu motivasi ini dalam bentuk ebook.
layari http://www.izzafey.ws/yasmin.html
Buku ini memaparkan beberapa langkah untuk kecemerlangan seseorang pelajar. Ayat yang diolah adalah secara begitu simple dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan pelajar. Penulis membahagikan buku ini kepada 10 bab:

Bab 1 mengungkapkan konsep Motivasi Kecemerlangan iaitu maksud motivasi dan tips-tips menjadi pelajar cemerlang di samping ciri-ciri ke arah menjadi pelajar cemerlang. Turut diungkapkan resepi kecemerlangan yang ditulis secara bersantai, seiring dengan minda remaja.

Bab 2 pula kaedah pengurusan masa dengan sistematik, iaitu usia dalam bentuk masa, langkah-langkah mengurus masa serta cara mengurangkan pembaziran masa. Turut diselitkan ialah jadual pengurusan masa untuk pelajar yang berbentuk fleksibel.

Bab 3 pula memaparkan tentang langkah-langkah kejayaan yang sangat perlu diikuti oleh setiap pelajar. Disenaraikan tanda-tanda orang yang berjaya dan tanda-tanda orang yang gagal. Formula kejayaan yang menggabungkan matlamat dan usaha serta graf kejayaan dimasukkan. Turut dimasukkan kisah-kisah kejayaan tokoh-tokoh seperti Henry Ford, Isaac Newton, Thomas Elva Edison, Ali Yaakub, Tuah Johari Atan, Roger Bannister, Jahangir Khan, Vasily Alexev, Nelson Mendela dan Prof. Ismail Salleh.

Bab 4 pula memberi kaedah-kaedah kemahiran belajar yang sesuai untuk semua peringkat pelajar. Kaedah akronim, kaedah jalan cerita, kaedah bunyi seakan, kaedah bayangan / imaginasi, kaedah peta minda, di samping kemahiran mendengar. Penulis juga menarik perhatian pembaca dengan memaparkan sub topik 'minat memperkuatkan daya ingatan'.

Bab 5 memasukkan konsep spiritual atau kerohanian yang perlu diseimbangkan oleh pelajar. Sebab-sebab lupaan, amalan-amalan keberkatan serta beberapa petua dari ayat-ayat suci al-Quran turut dimasukkan

Bab 6 memfokuskan tajuk persiapan menghadapi peperiksaan yang bermula dari beberapa minggu sebelum peperiksaan, minggu terakhir sebelum peperiksan, malam peperiksaan, sebelum masuk dewan peperiksaan, semasa peperiksaan dan sesudah peperiksaan, di samping cara mengatasi panik.

Bab 7 menyelitkan tips-tips ringkas untuk panduan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Isu-isu remaja dan cabarannya dimasukkan sebagai panduan ibu bapa dan langkah-langkah untuk menghadapinya. Bab ini diakhiri dengan kata-kata pujangga Pendita Zaaba.

Bab 8 dimasukkan info-info berkenaan motivasi seperti kajian sujud terhadap minda manusia, fenomena mengantuk, serta langkah mengatasinya. Turut dimasukkan ialah nasihat Luqman untuk anak-anaknya.

Bab 9 dilampirkan petua-petua ringkas tentang kejayaan, kisah Sayidina Ali dengan kaum Khawarij dan warkah untuk pelajar, intipati Surah Luqman, serta kajian terhadap keberkesanan pembelajaran. Petua Tok Kenali juga dimasukkan.

Bab 10 pula dimasukkan beberapa buah lagu yang berkait dengan motivasi seperti Your Mother, Jasa Bonda, Fikirkan Boleh, Gemilang dan Azam Yang Suci.
layari http://www.izzafey.ws/yasmin.html